Selamat Hari Ibu...
Assalamualaikum warah
matullahi wabarakatuh,
Rasanya masih tidak
terlewat untuk aku titipkan coretan ini sempena sambutan Hari Ibu tahun ini. Banyak
betul sambutan hari-hari khas dalam bulan Mei ini – Hari Bomba, Hari Jururawat,
Hari Guru dan aku sendiri pun dilahirkan dalam bulan ini. Coretan ini ditujukan
kepada ibuku Saadiah binti Hashim yang akan genap berusia 61 tahun pada 7 Ogos
ini.
Aku petik hadis Nabi
Muhammad S.A.W di bawah sebelum memulakan coretan ini :
“Berbaktilah
kepada ibumu, ayahmu, saudara perempuan dan saudara lelakimu, kemudian yang
terdekat dan yang terdekat”
(Diriwayatkan oleh Nasa’i, Ahmad dan Hakim)
Semua insan yang
bergelar anak yang lahir ke dunia ini mesti mempunyai pengalaman tersendiri
bersama insan yang bergelar ibu ini. Semestinya tidak sama di antara satu sama
lain. Sudah tentu pelbagai panggilan digunakan untuk memanggil insan mulia ini –
Mak, Ibu, Ummi, Mama, Mami, Mamak dan bermacam lagi. Aku memanggil ibuku dengan
panggilan Mak. Bagiku beliau banyak memiliki keistimewaan yang sangat
meninggalkan kesan mendalam dalam hidupku.
Aku ingat lagi, semasa
aku berada di sekolah rendah, aku bersekolah selama 5 tahun di sebuah sekolah
yang terletak di sebuah pulau, yang dikategorikan sebagai pedalaman. Guru-guruku
sentiasa memberikan latihan dan kerja rumah untuk di buat di rumah (walaupun
ada ibu bapa yang memberi usul dalam Mesyuarat Agung PIBG supaya anak mereka
tidak dibekalkan dengan kerja sekolah). Aku sangat mengingati saat apabila aku
membuat kerja rumah tersebut pada waktu malam, Mak akan sentiasa menemani aku. Mak
akan membancuhkan segelas Milo panas dan setia menemaniku sehingga kerja rumahku
siap. Aku tahu kadang-kadang Mak dah tersangat mengantuk sampai
tersengguk-sengguk kepalanya, tetapi Mak tetap setia menemaniku. Sekarang aku
sedar bahawa sangat penting ibu bapa mengambil tahun hal persekolahan
anak-anak, jangan semuanya diserahkan bulat-bulat kepada guru sekolah. Kanak-kanak
sangat memerlukan kata-kata motivasi dan semangat daripada ibu bapa, bukannya
sumpah seranah.
Perkara yang aku paling
tidak akan lupa ialah Mak TIDAK PERNAH GAGAL untuk menyediakan sarapan pagi dan
bekal makanan kepada aku. Mak juga akan menemani kami semasa makan di meja
makan dan berbual-bual mesra. Sampai sekarang pun apabila balik ke kampung, Mak
akan terus menemani kami di meja makan. Mak juga selalu pesan pada kami untuk
tidak marah atau menimbulkan sesuatu yang boleh merencatkan ‘mood’ dan perasaan
orang lain di meja makan. Didikan tersebut sentiasa terpahat di sanubari. Sebab
tu sampai sekarang aku sangat mementingkan suasana di meja makan. Suasana di
meja makan mesti ceria, mesra dan santai. Kita menghadap rezeki yang dikuniakan
Allah, yang mungkin tidak diperoleh oleh orang lain. Jadi mengapa kita perlu
berkelakuan seolah-olah kita tidak menghargai pemberiannya ?
Masa darjah 6, Mak bincang
dengan Abah untuk menyekolahkan aku di tanah besar. Mak kata aku perlu
melakukan persediaan untuk menduduki UPSR. Abah kemudian berbincang dengan
seorang saudara yang duduk di tanah besar, untuk menumpangkan aku di rumahnya. Saudara
Abah bersetuju. Abah membayar sara hidup bulanan kepada saudaranya, walaupun pada
mulanya saudara Abah menolak. Peristiwa itu membuatkan aku belajar banyak
perkara dan sangat memberi kesan dalam hidupku. Aku dikira sudah berdikari
sejak berada di darjah 6. Menumpang di rumah saudara banyak perkara perlu
dijaga dan aku berjaya di situ. Walaupun Mak tidak berpendidikan tinggi, tetapi
Mak tahu apa yang terbaik untuk aku. Dari situ aku belajar bahawa terdapat banyak
pengorbanan yang perlu dilakukan demi pendidikan. Sampai sekarang pun Mak
sangat ambil berat tentang hal persekolahan 11 orang cucu-cucunya. kalau di
telefon, perbualan Mak tentu banyak tentang hal persekolahan. Seronok tak
sekolah ? Belajar pa harini ? Ada tak pi masuk pertandingan apa-apa ? Sapa
kawan kat sekolah ? Jangan malas mengaji Quran dan sebagainya.
Masa aku kecik, selalu
gak kena marah dengan Mak. Mak pernah biarkan aku duduk luar rumah waktu malam sebab
aku balik lewat lepas merayau-rayau dengan kawan. Kami suka main perang-perang
dalam kebun, pancing ikan, lastik burung dan macam-macam lagi aktiviti
budak-budak zaman tu. Mak aku mengamuk betul bila kami main bakar-bakar rumput
dalam kebun Tok Long. Mesti lepas tu kena duduk luar rumah waktu malam. Tapi tak
lama pun. Paling lama 20 minit. Mungkin sebab tu kot sampai sekarang aku tak
berapa takut sangat kalau merayau malam-malam heeeee.
Perhubungan kita dengan
orang lain dan orang perempuan sangat berkait rapat dengan perhubungan kita
dengan ibu kita. Baik layanan kita terhadap Mak kita, insyaAllah baiklah
layanan kita terhadap wanita. Kadang-kadang ada orang kata lelaki yang rapat
dengan Mak ni dikira ‘anak mak’. Sudah tentu kita anak Mak. Aku tak pasti pulak
kalau ada di antara kita yang dibesarkan oleh bukan manusia, macam Tarzan tu. Tapi
pernah anda jumpa orang yang tak merasa kasih sayang Mak dan mempunyai masalah
keluarga? Aku ada pengalaman. Masa sekolah menengah dan belajar di maktab dulu,
aku selalu bawa kawan-kawan datang rumah. Jalan-jalan tengok kampung, ke
Taiping, Kuala Kangsar dan Manjung. Ada satu kawan sekolah menengah aku kata, “Aku
seronok gila mai rumah hang. Aku sembang dengan Mak hang macam kita dah lama
jadi jiran. Kadang-kadang aku macam dengki pulak tengok family hang. Kat rumah
aku, mak dengan ayah aku selalu gaduh. Sebab tu aku tak pernah ajak hang mai
rumah”. Waktu musim raya, mak dia jual biskut raya tepi jalan kat Kamunting. Ramai
kawan-kawan yang duduk situ cerita kat aku. Lepas tu aku jadi lagi rapat dengan dia. Kalau
minggu budak asrama boleh balik kampung, dia selalu ikut aku balik. Beberapa tahun
lepas tu, Mak dengan Ayah dia bercerai. Aku memang kesian sangat kat dia. Mak aku
selalu gak kirim makanan kat dia masa duduk di asrama dulu. Kami selalu makan
sama-sama. Lepas 10 tahun, bulan September 2013, dia telefon aku tanya khabar. Di
kerja di unit kecemasan di KLIA tu. Tak lama lagi dia cadang nak jumpa aku.
Kemudian ada sorang ‘junior’
maktab dulu pernah datang rumah. Pun ada masalah keluarga. Bercuti di rumah aku
hampir seminggu. Hari terakhir sebelum balik, dia kata kat aku, “Bang, saya
seronok betul bercuti di sini. Cara layanan Mak abang memang buat saya rasa sangat
selesa dan saya dapat rasa yang saya dilayan dengan ikhlas”. Lepas tu aku dapat
tahu yang hubungan dia dengan keluarga dia dah baik dan mesra. Aku sangat
bersyukur. Dari situ aku terfikir banyak perkara dan aku belajar untuk lebih
menghargai Mak. Adalah sangat memalukan kalau kita tak menghargai mak kita yang
membesarkan kita berpuluh-puluh tahun, sedangkan orang lain yang tinggal di
rumah kita tak sampai sebulan pun menghargai Mak kita. Dari situ kita boleh
tahu bahawa betapa kosong, tertekan dan perit perasaan orang yang tidak
mendapat kasih sayang seorang Mak.
Cerita tentang Mak
adalah cerita yang tak habis untuk diceritakan sampai bila-bila. Sangat mustahil
untuk pengorbanan Mak dapat dibalas. Hargailah ibu anda. Jangan sampai bila dia
pergi meninggalkan kita nanti, kita menjadi sangat ‘ralat’ dan sukar
menerimanya lantaran merasakan waktu itu kita adalah anak paling tidak berguna,
kerana tidak pernah menghargainya. Sebab itu antara prinsip hidup aku,
hargailah apa yang kita ada sekarang. Jangan sampai kita menjadi ‘ralat’
apabila orang yang kita sayangi tidak lagi berada di samping kita. Luangkan masa
dengannya, kerap bertanya khabarnya kerana dia sentiasa menunggu cerita-cerita
baharu dari kita, luahan-luahan perasaan dari kita, disebalik doanya yang tidak
pernah putus-putus mendoakan kejayaan dan kebahagian kepada kita.
Benarlah pesan
ustaz-ustaz. Renunglah dan tenunglah saat ibu kita sedang tidur, kamu akan
mendapat banyak pengajaran daripadanya…….
Selamat Hari Ibu
diucapkan kepada Bonda Saadiah binti Hashim, semoga hidupmu sentiasa dirahmati dan
diberkati oleh Allah, diberikan kesihatan yang baik, dimudahkan urusan di dunia
dan akhirat. Amin.
Terima kasih untuk segalanya.....
No comments:
Post a Comment