Tuesday, May 20, 2014

Assalamualaikum.....

Aku sudah sampai di Tong Villion Hotel, Muadzam Shah, Pahang jam 7.37 malam kelmarin. Kali ni digandingkan dengan Cg Mohd Shafie bin Khalid daripada SK LKTP Sayung, Kota Tinggi, Johor.

Aku memetik bahan di bawah daripada Mutiara Ihya 'Ulumuddin karangan Imam Al Ghazali muka surat 411-415. Mari hayati bersama-sama...

SIFAT-SIFAT YANG DIPERLUKAN DALAM MEMILIH SAHABAT

Perlu kita ketahui bahawa tidak semua orang boleh dijadikan sahabat. Dalam perkara ini, Rasulullah SAW bersabda yang bererti :

Daripada Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW:

Seseorang itu menurut agama (jalan) kekasihnya, maka oleh sebab itu hendaklah kamu semua meneliti orang yang digaulinya"
(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi)

Oleh itu, sahabat yang hendak dipilih itu mestilah memiliki keistimewaan sifat-sifat yang baik dan disenangi untuk dijadikan sebagai sahabat. Pada dasarnya sifat-sifat itu ialah akal yang baik, berbudi pekerti, bukan termasuk golongan yang fasiq dan bukan pula seseorang yang tamak dalam perkara keduniaan.

Perihal akal pula, seseorang itu sememangnya merupakan modal atau asas dalam kehidupan kerana perkara inilah yang pertama sekali wajib diperhatikan dalam memilih sahabat. Bukankah tiada gunanya bersahabat dengan seorang yang tamak atau kurang akal kerana sahabat sebegitu akan membawa perasaan yang tidak selesa dan perselisihan pendapat semata-mata, sekalipun persahabtan itu telah lama terjalin. Terdapat seseorang yang berkata bahawa memutuskan persahabatan dengan seseorang yang kurang akalnya itu adalah satu pengorbanan kepada Allah SWT.

Perihal kebaikan dan budi pekerti mestilah menjadi perhatian utama kerana barang siapa yang jiwanya dapat dikalahkan oleh nafsu marah, syahwat, bakhil, pengecut atau penakut apalagi kalau nafsu yang buruk itu sentiasa diturutkan, maka sama sekali tidak ada faedahnya bersahabat dengan manusia yang sedemikian.

Perihal orang fasiq yang berterusan di dalam kefasiqannya, maka mereka tidak layak untuk dijadikan sahabat. Bahkan, untuk menyaksikan mereka juga menimbulkan rasa acuh tak acuh dalam urusan kemaksiatan dan dapat melenyapkan jiwa yang benci kepada kemaksiatan. Lagipun, seseorang yang tidak ada rasa takut kepada Allah SWT, mungkin akan melakukan penipuan atau kecurangan terhadap sahabatnya. Dia juga tidak tetap dalam persahabatannnya, malahan sebaliknya berubah-ubah pendiriannya kerana mengikut tujuan dan kehendaknya disebabkan seseorang itu hanya menjurus kepada kepentingannya diri sendiri sahaja.

Berhubung dengan perkara ini, Allah SWT mengingatkan kepada kita dengan firman-Nya yang bermaksud :

"Dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lali daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya."
(al-Kahfi: 28)

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling daripada pengajaran Kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata"
(an-Najmi: 29)
`
Allah SWT menganjurkan supaya bersahabat dengan seseorang yang dihuraikan dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal soleh"
(Luqman: 15)

Isi yang tersurat dan yang dapat difahami daripada ayat-ayat di atas merupakan larangan atau ancaman untuk orang fasiq atau mereka yang bersahabat dengannya. 

'Alqamah pernah memberikan wasiat kepada puteranya dengan berkata: 'Wahai anakku, jikalau engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka pilihlah yang mempunyai sifat-sifat ini, iaitu jika engkau melayaninya, dia suka melindungimu, jikalau engkau bersahabat dengannya, dia merupakan hiasan bagi dir  imu dan jikalau engkau dalam keadaan kekurangan nafkah, dia mencukupi keperluanmu.

Pilihlah seorang sahabat yang yang apabila engkau menghulukan tanganmu untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau dia melihat kebaikan daripada dirimu, dia suka menghitungnya dan dianggapnya sangat berguna, sedangkan jikalau dia mengetahui keburukan dari dirimu, dia menutup keaiban itu.

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti dia memberinya, jikalau engkau diam, dia akan menyapamu dahulu dan jikalau ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia  membantu dan meringankan serta menghiburkanmu.

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata-kata, dia memberikan ucapanmu dan selalu mempercayainya, jikalau engkau menghadapi sesuatu persoalan yang berat, dia membantumu menghadapinya, dan jikalau engkau berselisih faham dengannya, dia mengalah untuk kepentinganmu".

Sayidina Ali r.a berkata : "Saudaramu yang sebenar-benarnya ialah orang yang ada di sampingmu. Dia suka melibatkan dirinya sendiri dalam bahaya untuk memberikan manfaat kepada dirimu. Itulah sahabatmu yang jikalau engkau dalam keadaan bimbang, dia selalu menjelaskan yang sebenarnya kepadamu. Dia berkorban dengan mencurahkan tenaga dan kekuatannya untuk dapat bersama-sama denganmu"

Abu Sulaiman Darami Rahimahullah berkata: "Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan salah satu daripada dua orang ini. Pertama ialah orang yang dapat engkau ajak bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur. Kedua, orang yang apabila engkau bersahabat dengannya, engkau dapat menambah kemanfaatan dirimu untuk urusan akhiratmu. Jika engkau suka bersahabat dengan orang selain dua orang di atas itu, pastilah ia merupakan kedegilan dan kebodohan yang luar biasa besarnya."

Perlu diketahui bahawa sebagai penutupnya, jangan sekali-kali memilih seseorang yang sangat tamak kepada dunia kerana bersahabat dengannya itu adalah seumpama bermain-main dengan racun yang dapat membunuh diri kita, yang tidak mustahil akan ditelannya juga. Oleh yang sebab demikian itulah watak seseorang manusia itu yang suka meniru dan menyesuaikan dirinya dengan sesuatu yang sentiasa dilihatnya. Bahkan, tabiat manusia itu meniru tabiat orang lain tanpa disedari oleh pemiliknya sendiri.

Oleh sebab itu, menjalinkan persahabatan dengan orang yang tamak kepada dunia menyebabkan hati kita menjadi tamak, dan sebaliknya menjalinkan persahabatan dengan seseorang yang zuhud kepada dunia, akan menyebabkan zuhudnya hati kita. Maka itu, kita dimakhruhkan merapati para pencaci dan pencinta dunia dan dituntut merapati dan bersahabat dengan para alim ulama dan para ahli hikmat dan orang yang bijaksana.

Luqman pernah memberi nasihat pada puteranya dengan berkata : "Wahai anakku, duduklah rapat-rapat dengan para alim ulama, eratkan dirimu dengan kedua-dua lututnya, sebab hati nurani yang mati disebabkan hujan yang lebat"

Sekian. Jadi adakah anda sudah mempunyai sahabat yang mempunyai sifat-sifat di atas???


                                          (Credited gambar kpd : bingkisanfirdaus.blogspot.com)


Thursday, May 15, 2014



Selamat Hari Ibu...

Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh,

Rasanya masih tidak terlewat untuk aku titipkan coretan ini sempena sambutan Hari Ibu tahun ini. Banyak betul sambutan hari-hari khas dalam bulan Mei ini – Hari Bomba, Hari Jururawat, Hari Guru dan aku sendiri pun dilahirkan dalam bulan ini. Coretan ini ditujukan kepada ibuku Saadiah binti Hashim yang akan genap berusia 61 tahun pada 7 Ogos ini.

Aku petik hadis Nabi Muhammad S.A.W di bawah sebelum memulakan coretan ini :

“Berbaktilah kepada ibumu, ayahmu, saudara perempuan dan saudara lelakimu, kemudian yang terdekat dan yang terdekat”

(Diriwayatkan oleh Nasa’i, Ahmad dan Hakim)

Semua insan yang bergelar anak yang lahir ke dunia ini mesti mempunyai pengalaman tersendiri bersama insan yang bergelar ibu ini. Semestinya tidak sama di antara satu sama lain. Sudah tentu pelbagai panggilan digunakan untuk memanggil insan mulia ini – Mak, Ibu, Ummi, Mama, Mami, Mamak dan bermacam lagi. Aku memanggil ibuku dengan panggilan Mak. Bagiku beliau banyak memiliki keistimewaan yang sangat meninggalkan kesan mendalam dalam hidupku.

Aku ingat lagi, semasa aku berada di sekolah rendah, aku bersekolah selama 5 tahun di sebuah sekolah yang terletak di sebuah pulau, yang dikategorikan sebagai pedalaman. Guru-guruku sentiasa memberikan latihan dan kerja rumah untuk di buat di rumah (walaupun ada ibu bapa yang memberi usul dalam Mesyuarat Agung PIBG supaya anak mereka tidak dibekalkan dengan kerja sekolah). Aku sangat mengingati saat apabila aku membuat kerja rumah tersebut pada waktu malam, Mak akan sentiasa menemani aku. Mak akan membancuhkan segelas Milo panas dan setia menemaniku sehingga kerja rumahku siap. Aku tahu kadang-kadang Mak dah tersangat mengantuk sampai tersengguk-sengguk kepalanya, tetapi Mak tetap setia menemaniku. Sekarang aku sedar bahawa sangat penting ibu bapa mengambil tahun hal persekolahan anak-anak, jangan semuanya diserahkan bulat-bulat kepada guru sekolah. Kanak-kanak sangat memerlukan kata-kata motivasi dan semangat daripada ibu bapa, bukannya sumpah seranah.

Perkara yang aku paling tidak akan lupa ialah Mak TIDAK PERNAH GAGAL untuk menyediakan sarapan pagi dan bekal makanan kepada aku. Mak juga akan menemani kami semasa makan di meja makan dan berbual-bual mesra. Sampai sekarang pun apabila balik ke kampung, Mak akan terus menemani kami di meja makan. Mak juga selalu pesan pada kami untuk tidak marah atau menimbulkan sesuatu yang boleh merencatkan ‘mood’ dan perasaan orang lain di meja makan. Didikan tersebut sentiasa terpahat di sanubari. Sebab tu sampai sekarang aku sangat mementingkan suasana di meja makan. Suasana di meja makan mesti ceria, mesra dan santai. Kita menghadap rezeki yang dikuniakan Allah, yang mungkin tidak diperoleh oleh orang lain. Jadi mengapa kita perlu berkelakuan seolah-olah kita tidak menghargai pemberiannya ?

Masa darjah 6, Mak bincang dengan Abah untuk menyekolahkan aku di tanah besar. Mak kata aku perlu melakukan persediaan untuk menduduki UPSR. Abah kemudian berbincang dengan seorang saudara yang duduk di tanah besar, untuk menumpangkan aku di rumahnya. Saudara Abah bersetuju. Abah membayar sara hidup bulanan kepada saudaranya, walaupun pada mulanya saudara Abah menolak. Peristiwa itu membuatkan aku belajar banyak perkara dan sangat memberi kesan dalam hidupku. Aku dikira sudah berdikari sejak berada di darjah 6. Menumpang di rumah saudara banyak perkara perlu dijaga dan aku berjaya di situ. Walaupun Mak tidak berpendidikan tinggi, tetapi Mak tahu apa yang terbaik untuk aku. Dari situ aku belajar bahawa terdapat banyak pengorbanan yang perlu dilakukan demi pendidikan. Sampai sekarang pun Mak sangat ambil berat tentang hal persekolahan 11 orang cucu-cucunya. kalau di telefon, perbualan Mak tentu banyak tentang hal persekolahan. Seronok tak sekolah ? Belajar pa harini ? Ada tak pi masuk pertandingan apa-apa ? Sapa kawan kat sekolah ? Jangan malas mengaji Quran dan sebagainya. 

Masa aku kecik, selalu gak kena marah dengan Mak. Mak pernah biarkan aku duduk luar rumah waktu malam sebab aku balik lewat lepas merayau-rayau dengan kawan. Kami suka main perang-perang dalam kebun, pancing ikan, lastik burung dan macam-macam lagi aktiviti budak-budak zaman tu. Mak aku mengamuk betul bila kami main bakar-bakar rumput dalam kebun Tok Long. Mesti lepas tu kena duduk luar rumah waktu malam. Tapi tak lama pun. Paling lama 20 minit. Mungkin sebab tu kot sampai sekarang aku tak berapa takut sangat kalau merayau malam-malam heeeee.

Perhubungan kita dengan orang lain dan orang perempuan sangat berkait rapat dengan perhubungan kita dengan ibu kita. Baik layanan kita terhadap Mak kita, insyaAllah baiklah layanan kita terhadap wanita. Kadang-kadang ada orang kata lelaki yang rapat dengan Mak ni dikira ‘anak mak’. Sudah tentu kita anak Mak. Aku tak pasti pulak kalau ada di antara kita yang dibesarkan oleh bukan manusia, macam Tarzan tu. Tapi pernah anda jumpa orang yang tak merasa kasih sayang Mak dan mempunyai masalah keluarga? Aku ada pengalaman. Masa sekolah menengah dan belajar di maktab dulu, aku selalu bawa kawan-kawan datang rumah. Jalan-jalan tengok kampung, ke Taiping, Kuala Kangsar dan Manjung. Ada satu kawan sekolah menengah aku kata, “Aku seronok gila mai rumah hang. Aku sembang dengan Mak hang macam kita dah lama jadi jiran. Kadang-kadang aku macam dengki pulak tengok family hang. Kat rumah aku, mak dengan ayah aku selalu gaduh. Sebab tu aku tak pernah ajak hang mai rumah”. Waktu musim raya, mak dia jual biskut raya tepi jalan kat Kamunting. Ramai kawan-kawan yang duduk situ cerita kat aku.  Lepas tu aku jadi lagi rapat dengan dia. Kalau minggu budak asrama boleh balik kampung, dia selalu ikut aku balik. Beberapa tahun lepas tu, Mak dengan Ayah dia bercerai. Aku memang kesian sangat kat dia. Mak aku selalu gak kirim makanan kat dia masa duduk di asrama dulu. Kami selalu makan sama-sama. Lepas 10 tahun, bulan September 2013, dia telefon aku tanya khabar. Di kerja di unit kecemasan di KLIA tu. Tak lama lagi dia cadang nak jumpa aku. 

Kemudian ada sorang ‘junior’ maktab dulu pernah datang rumah. Pun ada masalah keluarga. Bercuti di rumah aku hampir seminggu. Hari terakhir sebelum balik, dia kata kat aku, “Bang, saya seronok betul bercuti di sini. Cara layanan Mak abang memang buat saya rasa sangat selesa dan saya dapat rasa yang saya dilayan dengan ikhlas”. Lepas tu aku dapat tahu yang hubungan dia dengan keluarga dia dah baik dan mesra. Aku sangat bersyukur. Dari situ aku terfikir banyak perkara dan aku belajar untuk lebih menghargai Mak. Adalah sangat memalukan kalau kita tak menghargai mak kita yang membesarkan kita berpuluh-puluh tahun, sedangkan orang lain yang tinggal di rumah kita tak sampai sebulan pun menghargai Mak kita. Dari situ kita boleh tahu bahawa betapa kosong, tertekan dan perit perasaan orang yang tidak mendapat kasih sayang seorang Mak.

Cerita tentang Mak adalah cerita yang tak habis untuk diceritakan sampai bila-bila. Sangat mustahil untuk pengorbanan Mak dapat dibalas. Hargailah ibu anda. Jangan sampai bila dia pergi meninggalkan kita nanti, kita menjadi sangat ‘ralat’ dan sukar menerimanya lantaran merasakan waktu itu kita adalah anak paling tidak berguna, kerana tidak pernah menghargainya. Sebab itu antara prinsip hidup aku, hargailah apa yang kita ada sekarang. Jangan sampai kita menjadi ‘ralat’ apabila orang yang kita sayangi tidak lagi berada di samping kita. Luangkan masa dengannya, kerap bertanya khabarnya kerana dia sentiasa menunggu cerita-cerita baharu dari kita, luahan-luahan perasaan dari kita, disebalik doanya yang tidak pernah putus-putus mendoakan kejayaan dan kebahagian kepada kita.

Benarlah pesan ustaz-ustaz. Renunglah dan tenunglah saat ibu kita sedang tidur, kamu akan mendapat banyak pengajaran daripadanya…….

Selamat Hari Ibu diucapkan kepada Bonda Saadiah binti Hashim, semoga hidupmu sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah, diberikan kesihatan yang baik, dimudahkan urusan di dunia dan akhirat. Amin.







Terima kasih untuk segalanya..... 
KURSUS ORIENTASI DSKP TAHUN 5 (KSSR - SEJARAH)
TAHUN 2014

NEGERI  : PERAK
PPD : HULU PERAK
JUK : 
1. EN. AHAMAD JAMA'AMIN BIN YANG (IPSAH, SG PETANI, KEDAH)
2. EN. MUSAFARUDIN BIN HJ OTHMAN (SK LKTP KEMASUL, TRIANG, PAHANG)

TARIKH  : 05-06 MEI 2014
HARI       : ISNIN - SELASA
TEMPAT : DEWAN SERI BESTARI, PPD HULU PERAK
JUMLAH PESERTA : 56 ORANG
 Jambatan Raja Nazrin

 Penerangan slot Konsep Sejarah oleh En. Jama'amin

 Guru-guru dari seluruh Daerah Hulu Perak yang menyertai kursus

 Bertemu sahabat lama, Cikgu Karim bin Hussein. Satu kelas semasa di MP Raja Melewar, Seremban (Pra BED 2004 - 2005). Kali terakhir bertemu 2006 semasa Iftar Jamaie di IP Kent, Tuaran.  Kini mengajar di SK RPS Banun, Hulu Perak. Terima kasih belanja kami makan malam heee...

 Suasana hari kedua (Selasa - 6/5/2014)

 Ucapan penutupan oleh En. Mahathir daripada Unit Akademik Sekolah Rendah PPD Hulu Perak

 Penyampaian cenderamata oleh En. Mahathir kepada En. Ahamad Jama'amin

 Penyampaian cenderamata oleh En. Mahathir kepada En. Musafarudin


SOALAN-SOALAN YANG DITANYA OLEH PESERTA KURSUS



1. Adakah pihak KPM telah melakukan kajian rintis kajian kes sebelum dilaksanakan di sekolah?
2. Apakah bentuk format penulisan kajian kes?
3. Bilangan ahli minimum dan maksimum semasa melakukan kajian kes?
4. Bentuk penilaian terhadap murid aras rendah selepas melaksanakan kajian kes?
5. Tempoh masa melakukan kajian kes?
6. Bilangan kajian kes yang perlu dilakukan oleh murid dalam setahun?



NANTIKAN JAWAPANNYA DALAM POST BERIKUTNYA. JUMPA DI SMK MUADZAM JAYA, ROMPIN PADA 20 - 21 MEI 2014


 

Wednesday, May 14, 2014

MESYUARAT AGUNG PIBG SK (LKTP) KEMASUL, TRIANG, PAHANG
KALI KE 32 / 2014
TARIKH  :  04 APRIL 2014
HARI       : SELASA
JUMLAH KEHADIRAN : 133 ORANG
PERASMIAN OLEH : YB SENATOR ROSLIN BINTI HAJI ABDUL RAHMAN (AHLI DEWAN NEGARA)
 Ibu-bapa, barisan AJK PIBG, guru-guru dan tetamu jemputan yang hadir

 Pengacara majlis yang telah banyak melicinkan perjalanan mesyuarat,
En. Sahidan dan Pn. Nor Diyana

 Ucapan oleh YDP PIBG Sesi 2012/2014, Encik Razali bin Ahmad

 Ucapan oleh Guru Besar SK (LKTP) Kemasul, Encik Hassan Nasri bin Ahmad

 Ucapan perasmian oleh YB Senator Roslin binti Haji Abdul Rahman. Beliau seterusnya mengumumkan sumbangan kewangan untuk pihak PIBG SK (LKTP) Kemasul sebanyak 
RM 5,000.00. Terima kasih atas sumbangan YB Senator.

 Penyampaian sijil dan cenderamata kepada Setiausaha PIBG SK (LKTP) Kemasul,
Encik Musafarudin bin Haji Othman

  Penyampaian sijil dan cenderamata kepada Bendahari PIBG SK (LKTP) Kemasul,
Encik Zuhari bin Zulkifli (seorang sahabat yang terlalu banyak membantu dalam melicinkan perjalanan dan pentadbiran PIBG SK (LKTP) Kemasul, sahabat di kala suka dan duka, ceria dan tertawa, telah banyak pengalaman dalam pengurusan PIBG yang ditempuhi bersama.....)

Penyampaian cenderamata oleh Guru Besar SK (LKTP) Kemasul kepada YB Senator

 Pencatat minit mesyuarat juga tidak dilupa , Pn. Norsuhana dan Cik Nurul Akma

 Jamuan makan di kantin sekolah

SENARAI PENUH AJK PIBG SESI 2014 / 2016 AKAN DIPAMERKAN DALAM 'POST' SETERUSNYA.
TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT MENJAYAKAN MESYUARAT INI.

Thursday, May 8, 2014


LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE MRSM TROLAK, PERAK

TARIKH  :  30 APRIL 2014
HARI       :  RABU
JUMLAH MURID : 33 ORANG
JUMLAH GURU : 3 ORANG
JUMLAH AJK PIBG : 6 ORANG

 Kusyuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh pihak MRSM
 
Taklimat oleh Pengetua MRSM Trolak

Murid dibawa melawat sekitar MRSM oleh fasilitator PRS

 Selamat Datang ke PSS MRSM Felda

 Landskap PSS MRSM Felda

 Bergambar kenang-kenangan sebelum bertolak ke Sg Kelah Hot Spring

Sg Kelah Hot Spring

 Untuk renungan bersama

AJK PIBG yang turut menyertai rombongan tersebut

SEKIAN, TERIMA KASIH

Sunday, January 6, 2013

SELAMAT TAHUN BAHARU 2013




 

SELAMAT TAHUN BAHARU 2013!!!


EHEM EHEM, TESTING... TESTING... PUBLISH 2013!!!

Ehem ehem.... Testing testing... Percubaan publish 2013...Percubaan publish 2013...

Wednesday, May 18, 2011

Warkah untuk Pendeta Guru Mariam....

Salam. Aku baru dapat satu surat misteri melalui blog yang dikirim oleh satu makhluk tulang ikan apa ntah nama dia (http://tulangikankewl.blogspot.com). Sebenarnya sebelum aku g Sabah dulu, aku bukanlah jenis yang suka buat lawak sangat. Agak serius. Tapi lepas duduk Keningau 4 tahun, dapat pulak kemahiran lawak melawak ini. Aku diminta balas surat tu ikut laras bahasa yang biasa digunakan waktu ‘study’ dulu. Ok layannnn.



Ke hadapan Pendeta Guru Mariam yang diingati selalu,



Aku sudah menerima surat berpuaka yang dihantar oleh pendeta baru-baru ini. Terguling-guling aku menahan ketawa sambil menggigit hujung ‘charger’ laptop. Nasib baik tak tertelan mouse sekali. Ya, aku masih teringat lagi saat kita segerombolan berbondong-bondong mengunjungi kafe yang mulia itu untuk mendapatkan ‘secangkir’ nasi. Dan paling aku tak boleh lupa bila kita hampir-hampir kantoi dengan Cik Nab HEP apabila kita tidak mengikut perancangan rapi yang telah di atur untuk ‘menyerang kafe’. Aku, kau, Akmal dan Rosli kunun-kunun buat-buat menyorok di HEP. Padahal badan semua dah macam bapak budak kah3.



Ada yang bagi alasan nak ambik surat, ada pulak yang kata nak jumpa Pak Ya. Kalu tak silap aku Epi dan Zhafran boleh patah balik menyorok di koop ha3. Sungguh tidak murni mereka itu hu3. Tapi aku rasa Cik Nab tahu plan kita yang tak berapa nak jadi tu. Nasib baik la kita tak tibai bersyair dan bergurindam depan dia kah3. Itu belum lagi alasan yang katanya kita ada latihan kawad ha3. (Sempena sambutan hari guru di IPKS baru-baru ni, Cik Nab dapat Anugerah Pensyarah paling Popular. Tahniah Cik, Selamat Hari Guru he3).



Pendeta Guru Mariam,



Oh kau bertanyakan tentang Puan Margaret yang tersohor itu? Aku tidak pernah melupakannya walaupun di saat dinasour berada di hadapan mataku. Dialah segala-galanya bagi kita. Aku tak pernah melupakan kemahiran ‘psiko’ yang dimiliki oleh beliau. Apabila kelas kita ditegur atau dimarahi oleh pensyarah, dengan penuh perasaan dia akan berkata “Nah itu la itu. Diorang marah betul ba tu sama kamurang. Kamurang ni ada-ada sajak” ha3. Lepas tu beliau akan memandang kita atas dan bawah. Kalu Jeneral tentera tengok pun boleh kecut urat perut kah3!!



Aku beranggapan kau mesti mengambil tindakan segera, pantas, sepakat dan kolektif untuk menghantar ikan-ikan masin tersebut kepadanya. Nasib baik di Temerloh tu takda ikan patin kering, kalu tak dah lama aku kirim kat beliau. Aku rasa mesti ko merindukan saat2 di ‘pow’ dan menge ‘pow’ beliau dulu. Tapi aku ingin berpesan padamu – JANGAN SEKALI-KALI KO BUAT BEGITU DENGAN GB!!! AMAT TIDAK MURNI KESANNYA HA3.



Pendeta Guru Mariam,



Kenapa aku masih belum berpunya? Sebenarnya terlalu ramai yang telah mengisi borang pencalonan, namun ada sahaja yang tidak lengkap diisi oleh mereka-mereka itu. Ada yang tidak tulis rancangan tv kegemaran, ada yang tak tulis saiz kasut, ada jugak yang tak isi ruangan jantina dll ha3. Perfume bau sawit? Jangan ingat ko saja yang ada. Aku di sini pun ada jugak. Ko cakap brand apa ? Dunhill Don Palm, DKNY d’ Palm, Bonia with Palm Oil Extract. Ada banyak lagi. Kalu nak order msg ja ha3.




Pendeta Guru Mariam,



Berkenaan dengan filem Cun tu nanti aku akan tengok secepat mungkin walaupun di saat ayam belum niat berkokok lagi di pagi hari. Akmal pun merantau jugak macam aku sekarang. Dulu dia berulang dari rumah di BM ke pulau. Sekarang dia pun dah duduk di pulau. Dekat sikit dengan sekolah katanya.



Oh kalu waktu praktikum dulu tu, korang patut berterima kasih sangat sama ‘driver’ tak rasmi korang ini. Aku ingat lagi waktu kita dah agak lewat ke sekolah dan budak-budak orientasi tengah berbaris kat tepi dewan, nasih baik ko cakap yang kaki ko baru sebelah masuk dalam kereta. Kalu tak ada orang yang terpelanting daripada kereta En Pian ha3. Sebab aku rasa waktu tu macam aku bawak komuter sebenarnya. Bila orang masuk ja dan pintu bergerak sikit, aku akan terus jalan hahahaha. Yang paling aku tak tahan tu, bila hujung minggu bila ada program kat sek, waktu tu juga la ko ada program kat KK hahaha. Kiranya bagus jugak aku pasang radio pagi-pagi. Kalu nak harapkan ko baca paper dan buku untuk cari pengetahuan am, hampeh ha3. Mula la nanti ko buat-buat sembang dengan Pn Margaret kat kaunter tu hahaha. Eh ko ingat lagi tak Cikgu Azizi salak anjing tepi jalan?? Nasib baik aku ketawa sampai tak terbabas kereta tu hahaha.



Sekarang waktu pagi aku layan Sinar.fm. Kadang-kadang budak yang tumpang keta aku untuk pg kelas tambahan hujung minggu akan cakap “Hmm kenapa cikgu suka dengar lagu lama-lama?”. Tu belum lagi ada budak cakap dengan penuh seriusnya “Cikgu, bila besar nanti saya nak buat fesyen rambut macam rambut cikgu la”. Aku tengok kecil-besar-kecil-besar ja budak tu cisss.



Pendeta Guru Mariam,



Aku rasa setakat ini sajalah warkah dari ku untuk mu. Nanti sampai pukul 2 pagi pulak baru siap hahaha. Apa-apa pun, Anda Guru, Saya Guru, Selamat Hari Guru. Berazamlah untuk mendidik dengan sebaik-baiknya. Berusahalah agar setiap hari murid-murid akan mendapat sesuatu yang baru daripada kita. Jadikan saat-saat mereka bersama-sama kita adalah saat yang paling menggembirakan dalam hidup mereka. Walaupun kadang-kadang kita terpaksa mendenda mereka hu3. Ingat pesan aku ni pendita hahaha.



Wassalam.


Saturday, May 7, 2011

Majlis Pertunangan (1 Mei 2011)

Salam. Lama dah rasanya tak update blog ni. Mak yam yang dok dalam ladang sawit pun dah canggih update blog pakai blackberry hu3. Fuuuhhh kalu tengik tajuk post macam den ja yang bertunang hahahaha.Selalunya post pasal aktiviti sekolah. Kali ni nak post pasal family plak.


Pada 1 Mei yang lalu (baik kita mulakan karangan penulisan sekarang) sepupu den (kami panggil Along) telah melangsungkan majlis pertunangannya dengan gadis Ayer Itam, Penang. Sepupu ni sebelah mak (mak dia adik mak den). Gadis pilihan adalah campuran Melayu dan Mami Penang hu2. Jamuan makan diorang pun ada dalca baeeeekkk punya hu3. Ayah Along ni den panggil Pakcik Kadir dan maknya den panggil Acik Siti. Ini pertunangan pertama anak diorang. Paklong Hamdan dari Trolak mengetuai rombongan untuk pantun memantun hu3.


Selalunya Pakcik Kadir ni kalu hantar anak buah bertunang, dia antara yang paling kuat menyakat dan mengusik anak buah yang bertunang. Kali ni dia plak kena sakat dengan den hahahaha. Dia siap kata lagi "Tu le, skarang sampai kat kite, baru pening kepale. Tak senang duduk pakcik dibuatnye. Rase macam nak cepat-cepat kelua je waktu Paklong nak mule majlis tu". Hahahaha



Ketibaan rombongan lelaki


Sepupu (Along) dan Pakcik Kadir (pakai kopiah putih)


Den dan Along


Abg Lan dan Ijan (sepupu)

Paklong Hamdan memulakan bicara

Sebahagian hantaran daripada pihak lelaki


Mak di sebalik tiang hu3



Along menyembunyikan nervous sambil memicit -micit tisu dan menghentam segelas air sirap hu3


Saturday, February 19, 2011

BAHAYANYA ISLAM LIBERAL!!!

Salam. Sejak akhir-akhir ini, isu Islam Liberal hangat diperkatakan. Apa bendanya tu? Di sini saya catatkan beberapa info yang diambil daripada JAKIM dll sumber yang berkaitan. Harap berguna untuk panduan semua umat Islam. Semoga kita terus berada dalam keredhaan dan keberkataan Illahi, serta dimudahkan urusan di dunia dan akhirat. Amin.

1. SUMBER JAKIM

FAHAMI KEWAJARAN FATWA ISLAM LIBERAL-Mohd Aizam bin Mas’ud (Apr 2007)

Mungkin sebahagian umat Islam masih belum sedar bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke 74 pada 25-27 Julai 2006 yang lalu telah memutuskan pemikiran Islam Liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Bagi sesetengah umat Islam di Negara ini fatwa pengharaman Islam Liberal sememangnya agak kurang diketahui lantaran pengumumannya dibuat bersekali dengan fatwa pengharaman botox. Tidak dinafikan fatwa botox telah mendapat publisiti yang begitu meluas di kalangan media cetak dan elektronik arus perdana. Tambahan pula botox agak sinonim dengan kehidupan golongan artis atau selebriti kegilaan ramai. Ini sekaligus menenggelamkan fatwa Islam Liberal akibat terkesan dengan populariti isu botox yang hampir mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat Negara ini.

Apa yang menarik, pengharaman botox oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JKF) mendapat reaksi yang begitu positif sehingga amat jarang sekali terdengar pihak yang mempertikai mahupun menolaknya. Ia agak berlainan pula ketika respons diberikan kepada fatwa pengharaman Islam Liberal. Kedapatan suara segelintir umat Islam yang mempersoalkan kewajarannya atas dasar ia merupakan suatu bentuk pemikiran. Pemikiran pula tempatnya adalah di akal manusia. Akal pula adalah suatu yang berbentuk rohani yang tidak boleh ditangkap atau dipenjarakan. Maka, apakah kewajarannya JKF bertindak sedemikian?
Dalam memahami kewajaran fatwa tersebut, amat tepat sekiranya umat Islam menyorot kembali saat-saat kemasukan unsur-unsur falsafah serta budaya klasik Greek dan Parsi yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Bahananya idealisme-idealisme sesat yang dahulu terpendam dek kekuatan zaman keemasan akhirnya muncul dan terus menjalar menembusi pemikiran umat Islam ketika itu.

Antara golongan yang paling jelas terpengaruh dengan aliran ini adalah puak Muktazilah. Mereka memiliki gagasan pemikiran berteraskan keutamaan akal dan mensekunderkan teks-teks al-Quran dan Hadith. Ini ditambah pula dengan kepesatan ahli-ahli falsafah Islam yang mentafsirkan nusus-nusus agama mengikut pendekatan akal dan falsafah.
Sebelum itu juga telah wujud aliran-aliran pemikiran kalam atau teologi Islam yang jelas terpesong daripada manhaj sebenar aqidah Islam seumpama golongan Khawarij, Murji’ah, Jabariyah, Qadariyah dan Syiah.

Serangan-serangan ideologi dan pemikiran sebegini akhirnya telah melonjakkan sebilangan tokoh ilmuan Islam di zaman itu untuk tampil ke tengah-tengah umat bagi menjelaskan ajaran Islam yang sebenar.

Lantaran itu lahirlah nama-nama besar seperti Imam Abu Hanifah. Beliau telah menulis kitab berjudul al-Fiqh al-Akbar dan juga risalah yang diberi judul al-Bahth ‘ ala al-Istita’ah Ma’a al-Fi’il. Kedua-dua karya berkenaan mengkritik penyelewengan fahaman Qadariyah dalam usaha menyatakan kebenaran ajaran yang dikembangkan oleh Ahli Sunah.

Manakala Imam Syafi’ie pula telah menulis sebuah risalah bertajuk Tashih al-Nubuwwah wa al-Radd ‘ala al-Barahimah dan Risalah al-Radd ‘ala Ahl al-Ahwa. Dari tajuk-tajuk ini jelas menampakkan usaha beliau memperbetulkan dan menolak kebatilan ajaran yang berasaskan Brahminisme dan para pengikut hawa nafsu.
Begitu juga Imam Malik bin Anas yang telah melibatkan diri dalam banyak perdebatan bagi mempertahankan ajaran Ahli Sunah. Antaranya adalah ungkapan beliau tentang pengertian istiwa’. Beliau menjawab: Istiwa’ itu dimaklumi, caranya tidak boleh diimaginasi oleh akal, mengimaninya wajib, bertanya tentangnya tidak boleh (bid’ah).

Tidak ketinggalan juga Imam Ahmad bin Hanbal yang menamakan bukunya Risalah Ahli Sunah wa al-Jamaah. Kandungan buku ini jelas menghuraikan aqidah Ahli Sunah Waljamaah dan pada masa yang sama membicarakan pelbagai golongan yang dianggap menyimpang dan menyeleweng daripada pendekatan pemikiran Ahli Sunah.

Selain itu sejarah Islam juga membuktikan bahawa para khalifah Islam pernah mengharamkan bahkan bertindak tegas terhadap pembawa-pembawa fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahli Sunah Waljamaah. Sebagai contoh Ma’bad al-Juhani pengasas mazhab Qadariyyah telah dihukum bunuh oleh Khalifah Abdul Malik pada tahun 80 hijri. Pada zaman itu juga Imam Hassan al-Basri telah mengeluarkan fatwa menegah orang ramai menghadiri majlis yang dipimpin oleh Ma’bad al-Juhani sambil menyifatkan dia adalah seorang yang sesat lagi menyesatkan.

Seorang lagi pengikut mazhab Qadariyyah yang dihukum mati adalah Ghailan al-Dimasyqi iaitu pada zaman Khalifah Hisham bin Abdul Malik. Pada zaman Khalifah Hisham juga baginda telah menjatuhkan hukuman yang sama ke atas pembawa mazhab Jabariyyah iaitu Ja’d bin Dirham pada tahun 120 hijri. Jaham bin Safwan, iaitu murid kepada Ja’d bin Dirham juga menerima nasib yang sama apabila dia juga dijatuhi hukuman bunuh pada zaman Bani Umayyah atas arahan Gabenor Khurasan pada tahun 128 hijri.

Manakala pengharaman buku atau kitab, ia sememangnya tidak berlaku pada zaman awal penulisan atau pengarangan kitab memandangkan ia tidak begitu relevan untuk dilakukan oleh pemerintah. Ini kerana pada zaman tersebut belum terdapat sebarang bentuk teknologi percetakan tetapi yang wujud hanyalah penulisan berbentuk penyalinan dengan tulisan tangan. Hal ini menyebabkan pengedaran ilmu melalui kitab adalah terhad berbanding penyebaran ilmu melalui majlis-majlis menadah kitab (talaqqi). Oleh itu tidak timbul soal pengharaman buku atau kitab di zaman Rasulullah s.a.w., para Sahabat mahupun di zaman Khilafah Bani Umayyah dan Khilafah Bani Abbasiyyah memandangkan tiada keperluan berbuat demikian oleh pihak pemerintah..

Namun pada zaman ini adalah menjadi suatu kebiasaan bagi institusi agama berautoriti mengeluarkan arahan pengharaman buku-buku tertentu demi menjaga kesucian pemikiran umat Islam. Sebagai contoh Institut Kajian Islam Universiti al-Azhar yang dipimpin oleh Syeikh al-Azhar sendiri telah banyak kali mengeluarkan keputusan-keputusan rasmi mengenai pengharaman kitab-kitab tertentu yang dilihat boleh membahayakan aqidah Islam di samping boleh memecahbelahkan umat Islam.

Hakikatnya, keputusan fatwa pengharaman Islam Liberal oleh JKF merupakan lambang kepada fungsi yang dimainkan oleh kerajaan sebagai pemerintah Islam yang diamanahkan untuk menjalankan amar makruf dan nahi mungkar.

Bagi golongan pemerintah Islam mereka bertindak berasaskan konsep siyasah syar’iyyah iaitu demi menjamin kesucian agama di samping membangunkan urusan dunia (hirasat al-din wa ‘imarat al-dunya). Melalui konsep tersebut maka pengharaman pemikiran-pemikiran tertentu adalah salah satu cara yang digunakan oleh pemerintah demi menyekat jalan-jalan (sadd al-zari’ah) yang boleh merosakkan aqidah dan pemikiran umat Islam.

Memang diakui bahawa pemikiran adalah hak asasi setiap individu yang berakal. Ia sekali-kali tidak boleh disentuh atau diusik walau diperlaku bagaimana sekalipun. Namun bukankah dengan pemikiran lahirnya segala tingkah laku dan amal perbuatan. Jika tidak masakan hadith Rasulullah s.a.w. mengatakan: “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat”. Oleh kerana itulah maka Islam sedari awal telah menolak setiap pemikiran atau niat yang menyeleweng kerana ia sudah tentu melahirkan perbuatan yang sama jua.


2. SUMBER USTAZ ABU ZAKI BIN HJ ISMAIL - Khutbah Jumaat Januari 2007

Antara ciri-ciri fahaman ini adalah :
1. Berpegang pada relativisma atau kepercayaan bahawa kebenaran tidak bersifat mutlak. Justeru, semua pandangan agama-agama boleh diterima kerana ia bergantung kepada penilaian individu.
2. Melihat agama sebagai hasil perkembangan pemikiran manusia, bukan berasaskan sumber al-Quran dan hadis.
3. Menganggap Islam terbuka kepada pelbagai tafsiran.
4. Menuntut kebebasan dalam mentafsirkan ajaran agama, walaupun tidak memiliki kelayakan asas dalam bidang agama.
5. Menolak apa sahaja bentuk kewibawaan ilmiah atau autoriti dalam agama.
6. Beranggapan ada perbezaan antara Islam yang sebenar dengan Islam yang ditafsirkan oleh ulama tradisi.
7. Selalu mengkritik tafsiran ulama tradisi dengan dakwaan ia tidak sesuai dengan kemodenan.
8. Pandangan terhadap agama bersifat liberal kerana tidak mahu terikat dengan tradisi yang diamalkan.
9. Menuntut keterbukaan ijtihad termasuk dalam bidang akidah, ibadah dan perkara yang telah disepakati ulama (ijmak).
10. Menyamakan suasana kehidupan beragama di negara ini dengan kehidupan beragama di Eropah pada abad ke 16 hingga 18 Masihi (ketika masyarakat Eropah ditindas golongan gereja).
11. Menafikan hak agama dalam mengawal moral penganutnya.
12. Menganggap perkara agama sebagai hak individu, tidak boleh dijadikan nilai yang dipaksa dalam pentadbiran atau undang-undang.
13. Mempromosikan emansipasi atau kebebasan wanita dan persamaan hak dengan kaum lelaki.
14. Mendukung penuh demokrasi liberal.

"Sesungguhnya Din (agama) di sisi Allah hanya Islam"
. (Surah Ali Imran :ayat 19)