Tuesday, May 20, 2014

Assalamualaikum.....

Aku sudah sampai di Tong Villion Hotel, Muadzam Shah, Pahang jam 7.37 malam kelmarin. Kali ni digandingkan dengan Cg Mohd Shafie bin Khalid daripada SK LKTP Sayung, Kota Tinggi, Johor.

Aku memetik bahan di bawah daripada Mutiara Ihya 'Ulumuddin karangan Imam Al Ghazali muka surat 411-415. Mari hayati bersama-sama...

SIFAT-SIFAT YANG DIPERLUKAN DALAM MEMILIH SAHABAT

Perlu kita ketahui bahawa tidak semua orang boleh dijadikan sahabat. Dalam perkara ini, Rasulullah SAW bersabda yang bererti :

Daripada Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW:

Seseorang itu menurut agama (jalan) kekasihnya, maka oleh sebab itu hendaklah kamu semua meneliti orang yang digaulinya"
(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi)

Oleh itu, sahabat yang hendak dipilih itu mestilah memiliki keistimewaan sifat-sifat yang baik dan disenangi untuk dijadikan sebagai sahabat. Pada dasarnya sifat-sifat itu ialah akal yang baik, berbudi pekerti, bukan termasuk golongan yang fasiq dan bukan pula seseorang yang tamak dalam perkara keduniaan.

Perihal akal pula, seseorang itu sememangnya merupakan modal atau asas dalam kehidupan kerana perkara inilah yang pertama sekali wajib diperhatikan dalam memilih sahabat. Bukankah tiada gunanya bersahabat dengan seorang yang tamak atau kurang akal kerana sahabat sebegitu akan membawa perasaan yang tidak selesa dan perselisihan pendapat semata-mata, sekalipun persahabtan itu telah lama terjalin. Terdapat seseorang yang berkata bahawa memutuskan persahabatan dengan seseorang yang kurang akalnya itu adalah satu pengorbanan kepada Allah SWT.

Perihal kebaikan dan budi pekerti mestilah menjadi perhatian utama kerana barang siapa yang jiwanya dapat dikalahkan oleh nafsu marah, syahwat, bakhil, pengecut atau penakut apalagi kalau nafsu yang buruk itu sentiasa diturutkan, maka sama sekali tidak ada faedahnya bersahabat dengan manusia yang sedemikian.

Perihal orang fasiq yang berterusan di dalam kefasiqannya, maka mereka tidak layak untuk dijadikan sahabat. Bahkan, untuk menyaksikan mereka juga menimbulkan rasa acuh tak acuh dalam urusan kemaksiatan dan dapat melenyapkan jiwa yang benci kepada kemaksiatan. Lagipun, seseorang yang tidak ada rasa takut kepada Allah SWT, mungkin akan melakukan penipuan atau kecurangan terhadap sahabatnya. Dia juga tidak tetap dalam persahabatannnya, malahan sebaliknya berubah-ubah pendiriannya kerana mengikut tujuan dan kehendaknya disebabkan seseorang itu hanya menjurus kepada kepentingannya diri sendiri sahaja.

Berhubung dengan perkara ini, Allah SWT mengingatkan kepada kita dengan firman-Nya yang bermaksud :

"Dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lali daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya."
(al-Kahfi: 28)

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling daripada pengajaran Kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata"
(an-Najmi: 29)
`
Allah SWT menganjurkan supaya bersahabat dengan seseorang yang dihuraikan dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal soleh"
(Luqman: 15)

Isi yang tersurat dan yang dapat difahami daripada ayat-ayat di atas merupakan larangan atau ancaman untuk orang fasiq atau mereka yang bersahabat dengannya. 

'Alqamah pernah memberikan wasiat kepada puteranya dengan berkata: 'Wahai anakku, jikalau engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka pilihlah yang mempunyai sifat-sifat ini, iaitu jika engkau melayaninya, dia suka melindungimu, jikalau engkau bersahabat dengannya, dia merupakan hiasan bagi dir  imu dan jikalau engkau dalam keadaan kekurangan nafkah, dia mencukupi keperluanmu.

Pilihlah seorang sahabat yang yang apabila engkau menghulukan tanganmu untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau dia melihat kebaikan daripada dirimu, dia suka menghitungnya dan dianggapnya sangat berguna, sedangkan jikalau dia mengetahui keburukan dari dirimu, dia menutup keaiban itu.

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti dia memberinya, jikalau engkau diam, dia akan menyapamu dahulu dan jikalau ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia  membantu dan meringankan serta menghiburkanmu.

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata-kata, dia memberikan ucapanmu dan selalu mempercayainya, jikalau engkau menghadapi sesuatu persoalan yang berat, dia membantumu menghadapinya, dan jikalau engkau berselisih faham dengannya, dia mengalah untuk kepentinganmu".

Sayidina Ali r.a berkata : "Saudaramu yang sebenar-benarnya ialah orang yang ada di sampingmu. Dia suka melibatkan dirinya sendiri dalam bahaya untuk memberikan manfaat kepada dirimu. Itulah sahabatmu yang jikalau engkau dalam keadaan bimbang, dia selalu menjelaskan yang sebenarnya kepadamu. Dia berkorban dengan mencurahkan tenaga dan kekuatannya untuk dapat bersama-sama denganmu"

Abu Sulaiman Darami Rahimahullah berkata: "Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan salah satu daripada dua orang ini. Pertama ialah orang yang dapat engkau ajak bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur. Kedua, orang yang apabila engkau bersahabat dengannya, engkau dapat menambah kemanfaatan dirimu untuk urusan akhiratmu. Jika engkau suka bersahabat dengan orang selain dua orang di atas itu, pastilah ia merupakan kedegilan dan kebodohan yang luar biasa besarnya."

Perlu diketahui bahawa sebagai penutupnya, jangan sekali-kali memilih seseorang yang sangat tamak kepada dunia kerana bersahabat dengannya itu adalah seumpama bermain-main dengan racun yang dapat membunuh diri kita, yang tidak mustahil akan ditelannya juga. Oleh yang sebab demikian itulah watak seseorang manusia itu yang suka meniru dan menyesuaikan dirinya dengan sesuatu yang sentiasa dilihatnya. Bahkan, tabiat manusia itu meniru tabiat orang lain tanpa disedari oleh pemiliknya sendiri.

Oleh sebab itu, menjalinkan persahabatan dengan orang yang tamak kepada dunia menyebabkan hati kita menjadi tamak, dan sebaliknya menjalinkan persahabatan dengan seseorang yang zuhud kepada dunia, akan menyebabkan zuhudnya hati kita. Maka itu, kita dimakhruhkan merapati para pencaci dan pencinta dunia dan dituntut merapati dan bersahabat dengan para alim ulama dan para ahli hikmat dan orang yang bijaksana.

Luqman pernah memberi nasihat pada puteranya dengan berkata : "Wahai anakku, duduklah rapat-rapat dengan para alim ulama, eratkan dirimu dengan kedua-dua lututnya, sebab hati nurani yang mati disebabkan hujan yang lebat"

Sekian. Jadi adakah anda sudah mempunyai sahabat yang mempunyai sifat-sifat di atas???


                                          (Credited gambar kpd : bingkisanfirdaus.blogspot.com)


No comments: