Thursday, May 15, 2014



Selamat Hari Ibu...

Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh,

Rasanya masih tidak terlewat untuk aku titipkan coretan ini sempena sambutan Hari Ibu tahun ini. Banyak betul sambutan hari-hari khas dalam bulan Mei ini – Hari Bomba, Hari Jururawat, Hari Guru dan aku sendiri pun dilahirkan dalam bulan ini. Coretan ini ditujukan kepada ibuku Saadiah binti Hashim yang akan genap berusia 61 tahun pada 7 Ogos ini.

Aku petik hadis Nabi Muhammad S.A.W di bawah sebelum memulakan coretan ini :

“Berbaktilah kepada ibumu, ayahmu, saudara perempuan dan saudara lelakimu, kemudian yang terdekat dan yang terdekat”

(Diriwayatkan oleh Nasa’i, Ahmad dan Hakim)

Semua insan yang bergelar anak yang lahir ke dunia ini mesti mempunyai pengalaman tersendiri bersama insan yang bergelar ibu ini. Semestinya tidak sama di antara satu sama lain. Sudah tentu pelbagai panggilan digunakan untuk memanggil insan mulia ini – Mak, Ibu, Ummi, Mama, Mami, Mamak dan bermacam lagi. Aku memanggil ibuku dengan panggilan Mak. Bagiku beliau banyak memiliki keistimewaan yang sangat meninggalkan kesan mendalam dalam hidupku.

Aku ingat lagi, semasa aku berada di sekolah rendah, aku bersekolah selama 5 tahun di sebuah sekolah yang terletak di sebuah pulau, yang dikategorikan sebagai pedalaman. Guru-guruku sentiasa memberikan latihan dan kerja rumah untuk di buat di rumah (walaupun ada ibu bapa yang memberi usul dalam Mesyuarat Agung PIBG supaya anak mereka tidak dibekalkan dengan kerja sekolah). Aku sangat mengingati saat apabila aku membuat kerja rumah tersebut pada waktu malam, Mak akan sentiasa menemani aku. Mak akan membancuhkan segelas Milo panas dan setia menemaniku sehingga kerja rumahku siap. Aku tahu kadang-kadang Mak dah tersangat mengantuk sampai tersengguk-sengguk kepalanya, tetapi Mak tetap setia menemaniku. Sekarang aku sedar bahawa sangat penting ibu bapa mengambil tahun hal persekolahan anak-anak, jangan semuanya diserahkan bulat-bulat kepada guru sekolah. Kanak-kanak sangat memerlukan kata-kata motivasi dan semangat daripada ibu bapa, bukannya sumpah seranah.

Perkara yang aku paling tidak akan lupa ialah Mak TIDAK PERNAH GAGAL untuk menyediakan sarapan pagi dan bekal makanan kepada aku. Mak juga akan menemani kami semasa makan di meja makan dan berbual-bual mesra. Sampai sekarang pun apabila balik ke kampung, Mak akan terus menemani kami di meja makan. Mak juga selalu pesan pada kami untuk tidak marah atau menimbulkan sesuatu yang boleh merencatkan ‘mood’ dan perasaan orang lain di meja makan. Didikan tersebut sentiasa terpahat di sanubari. Sebab tu sampai sekarang aku sangat mementingkan suasana di meja makan. Suasana di meja makan mesti ceria, mesra dan santai. Kita menghadap rezeki yang dikuniakan Allah, yang mungkin tidak diperoleh oleh orang lain. Jadi mengapa kita perlu berkelakuan seolah-olah kita tidak menghargai pemberiannya ?

Masa darjah 6, Mak bincang dengan Abah untuk menyekolahkan aku di tanah besar. Mak kata aku perlu melakukan persediaan untuk menduduki UPSR. Abah kemudian berbincang dengan seorang saudara yang duduk di tanah besar, untuk menumpangkan aku di rumahnya. Saudara Abah bersetuju. Abah membayar sara hidup bulanan kepada saudaranya, walaupun pada mulanya saudara Abah menolak. Peristiwa itu membuatkan aku belajar banyak perkara dan sangat memberi kesan dalam hidupku. Aku dikira sudah berdikari sejak berada di darjah 6. Menumpang di rumah saudara banyak perkara perlu dijaga dan aku berjaya di situ. Walaupun Mak tidak berpendidikan tinggi, tetapi Mak tahu apa yang terbaik untuk aku. Dari situ aku belajar bahawa terdapat banyak pengorbanan yang perlu dilakukan demi pendidikan. Sampai sekarang pun Mak sangat ambil berat tentang hal persekolahan 11 orang cucu-cucunya. kalau di telefon, perbualan Mak tentu banyak tentang hal persekolahan. Seronok tak sekolah ? Belajar pa harini ? Ada tak pi masuk pertandingan apa-apa ? Sapa kawan kat sekolah ? Jangan malas mengaji Quran dan sebagainya. 

Masa aku kecik, selalu gak kena marah dengan Mak. Mak pernah biarkan aku duduk luar rumah waktu malam sebab aku balik lewat lepas merayau-rayau dengan kawan. Kami suka main perang-perang dalam kebun, pancing ikan, lastik burung dan macam-macam lagi aktiviti budak-budak zaman tu. Mak aku mengamuk betul bila kami main bakar-bakar rumput dalam kebun Tok Long. Mesti lepas tu kena duduk luar rumah waktu malam. Tapi tak lama pun. Paling lama 20 minit. Mungkin sebab tu kot sampai sekarang aku tak berapa takut sangat kalau merayau malam-malam heeeee.

Perhubungan kita dengan orang lain dan orang perempuan sangat berkait rapat dengan perhubungan kita dengan ibu kita. Baik layanan kita terhadap Mak kita, insyaAllah baiklah layanan kita terhadap wanita. Kadang-kadang ada orang kata lelaki yang rapat dengan Mak ni dikira ‘anak mak’. Sudah tentu kita anak Mak. Aku tak pasti pulak kalau ada di antara kita yang dibesarkan oleh bukan manusia, macam Tarzan tu. Tapi pernah anda jumpa orang yang tak merasa kasih sayang Mak dan mempunyai masalah keluarga? Aku ada pengalaman. Masa sekolah menengah dan belajar di maktab dulu, aku selalu bawa kawan-kawan datang rumah. Jalan-jalan tengok kampung, ke Taiping, Kuala Kangsar dan Manjung. Ada satu kawan sekolah menengah aku kata, “Aku seronok gila mai rumah hang. Aku sembang dengan Mak hang macam kita dah lama jadi jiran. Kadang-kadang aku macam dengki pulak tengok family hang. Kat rumah aku, mak dengan ayah aku selalu gaduh. Sebab tu aku tak pernah ajak hang mai rumah”. Waktu musim raya, mak dia jual biskut raya tepi jalan kat Kamunting. Ramai kawan-kawan yang duduk situ cerita kat aku.  Lepas tu aku jadi lagi rapat dengan dia. Kalau minggu budak asrama boleh balik kampung, dia selalu ikut aku balik. Beberapa tahun lepas tu, Mak dengan Ayah dia bercerai. Aku memang kesian sangat kat dia. Mak aku selalu gak kirim makanan kat dia masa duduk di asrama dulu. Kami selalu makan sama-sama. Lepas 10 tahun, bulan September 2013, dia telefon aku tanya khabar. Di kerja di unit kecemasan di KLIA tu. Tak lama lagi dia cadang nak jumpa aku. 

Kemudian ada sorang ‘junior’ maktab dulu pernah datang rumah. Pun ada masalah keluarga. Bercuti di rumah aku hampir seminggu. Hari terakhir sebelum balik, dia kata kat aku, “Bang, saya seronok betul bercuti di sini. Cara layanan Mak abang memang buat saya rasa sangat selesa dan saya dapat rasa yang saya dilayan dengan ikhlas”. Lepas tu aku dapat tahu yang hubungan dia dengan keluarga dia dah baik dan mesra. Aku sangat bersyukur. Dari situ aku terfikir banyak perkara dan aku belajar untuk lebih menghargai Mak. Adalah sangat memalukan kalau kita tak menghargai mak kita yang membesarkan kita berpuluh-puluh tahun, sedangkan orang lain yang tinggal di rumah kita tak sampai sebulan pun menghargai Mak kita. Dari situ kita boleh tahu bahawa betapa kosong, tertekan dan perit perasaan orang yang tidak mendapat kasih sayang seorang Mak.

Cerita tentang Mak adalah cerita yang tak habis untuk diceritakan sampai bila-bila. Sangat mustahil untuk pengorbanan Mak dapat dibalas. Hargailah ibu anda. Jangan sampai bila dia pergi meninggalkan kita nanti, kita menjadi sangat ‘ralat’ dan sukar menerimanya lantaran merasakan waktu itu kita adalah anak paling tidak berguna, kerana tidak pernah menghargainya. Sebab itu antara prinsip hidup aku, hargailah apa yang kita ada sekarang. Jangan sampai kita menjadi ‘ralat’ apabila orang yang kita sayangi tidak lagi berada di samping kita. Luangkan masa dengannya, kerap bertanya khabarnya kerana dia sentiasa menunggu cerita-cerita baharu dari kita, luahan-luahan perasaan dari kita, disebalik doanya yang tidak pernah putus-putus mendoakan kejayaan dan kebahagian kepada kita.

Benarlah pesan ustaz-ustaz. Renunglah dan tenunglah saat ibu kita sedang tidur, kamu akan mendapat banyak pengajaran daripadanya…….

Selamat Hari Ibu diucapkan kepada Bonda Saadiah binti Hashim, semoga hidupmu sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah, diberikan kesihatan yang baik, dimudahkan urusan di dunia dan akhirat. Amin.







Terima kasih untuk segalanya..... 

No comments: